Tarekat Ahmadiah Idrisiah Rashidiah Dandarawiah


1. Sayyidi Ahmad bin Idris

Pengasas utama dan pertama tarekat ini dilahirkan di Fas, Maghribi pada tahun 1172H/1755M dari keturunan Rasulullah SAW. Nama penuh beliau ialah Ahmad bin Idris bin Abdullah bin Hussain al-Muthanna bin Abu Muhammad hingga kepada Sayyidina al-Sabt. 

Sayyidi Ahmad (r.a) sebelum mendirikan Tarekat Ahmadiah ini menerima Tarekat al-Misriah al-Azizah daripada Sayyidi Abd. Wahab al-Tazi. Tarekat kedua yang diterimanya ialah al-Syazuliah daripada Syeikh Sayyidi Abu Kassim al-Wazir al-Ghazi. Manakala tarekat ketiga ialah Tarekat al-Khulwatiah daripada Syeikh Hassan bin Hassan Bek al-Kina.

2. Sayyidi Ibrahim al-Rashid

Setelah wafat Sayyidi Ahmad bin Idris pada bulan Rejab 1263H/1837M, tampillah Sayyidi Ibrahim al-Rashid mewarisi tempatnya sebagai pengasas Tarekat Ahmadiah al-Rashidiah.

Beliau dilahirkan di Sudan pada tahun 1228H/1813M. Nama penuh beliau ialah Ibrahim bin Syeikh Saleh al-Qahanabi bin Sayyid Abdul Rahman. Jurai nasabnya dari sebelah ayahandanya berasal daripada ‘Akil bin Abi Talib, saudara Sayyidina Ali (k.a)

3. Sayyid Muhammad bin Ahmad al-Dandarawi

Manakala wafat Sayyidi Ibrahim al-Rashid pada tahun 1291H/1874M dan dimakamkan di perkuburan Ma‘la di Makah, maka tampillah pula Sayyid Muhammad bin Ahmad al-Dandarawi, waris kepada Sayyid Ibrahim al-Rashid. Beliau dilahirkan di Dandarah yang letaknya di Lembah Sungai Nil di bahagian selatan Kaherah. Keluarga beliau daripada keluarga bangsawan Maghribi yang datang ke Mesir bagi memerangi penjajah yang menguasai Mesir. Dalam peperangan tersebut, mereka berhasil menguasai beberapa buah daerah termasuk Dandarah yang menjadi tempat kediaman keluarga itu hingga sekarang.

Perkembangan Tarekat Ahmadiah Di Asia Tenggara 

Perkembangan Tarekat Ahmadiah di Asia Tenggara secara umumnya dan Malaysia khasnya adalah di bawah pimpinan Syeikh Mohd Said al-Linggi dan anak-anaknya. Ini adalah untuk memenuhi cita-cita gurunya Sayyidi Muhammad bin Ahmad al-Dandarawi bagi mengembangkan tarekat ini di seluruh dunia.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa tokoh ulamak lain di Malaysia yang berjasa dalam mengembangkan dan mempertahankan tarekat ini terutama di negeri Kelantan. Antara tokoh-tokoh lain tersebut ialah:

1. Tuan Haji Abdul Samad bin Muhammad Saleh yang terkenal sebagai Tuan Tabal (W 1891M). Beliau menerima ijazah Tarekat Ahmadiah daripada Sayyidi Ibrahim al-Rashid. Usaha murni beliau disambung oleh anak beliau Wan Musa bin Wan Haji Abdul Samad (W 1939). Beliau pernah menjawat jawatan Mufti Kelantan (1908-1916M) berusaha mengembangkan tarekat ini di Kelantan dan Terengganu.

2. Seorang lagi tokoh Tarekat Ahmadiah di Kelantan ialah Tuan Haji Daud bin Haji Umar al-Labidi (W 1972M). Beliau juga lebih dikenali sebagai Tuan Haji Daud Bukit Abal. Beliau mengambil ijazah tarekat ini daripada Tok Syafie, seorang ulamak tasawwuf di Kedah.

3. Turut mengembangkan tarekat ini ialah Tok Syafie. Nama penuh beliau ialah Mohd Syafie bin Mohd Saleh bin Abdul Rahman. Ulamak tasawwuf yang mengajar di Kota Makah ini menerima ijazah Tarekat Ahmadiah daripada Sayyidi Ibrahim al-Rashid. Beliau sezaman dengan Tuan Tabal dan Syeikh Mohd Said al-Linggi. Ramai pelajar Malaysia yang mengambil ijazah Tarekat Ahmadiah dari beliau antaranya Tuan Haji Abdullah Sijang, bekas Kadi Port Dickson dan Tuan Haji Semaun, seorang ulamak tasawwuf di Negeri Sembilan.

4. Sejarah perkembangan Tarekat Ahmadiah tidak akan lengkap tanpa memperkatakan tentang Tuan Syeikh Mohd Said al-Linggi (W 1926). Beliau pernah belajar di Makah di Jami’atul Azhar dengan ulamak yang terkenal di zaman itu Syeikh al-Anbabi, syeikh al-Azhar yang terkenal di zaman itu, Syeikh Hasbullah al-Makki dan lain-lain. Beliau menerima ijazah tarekat ini daripada Sayyidi Muhammad al-Dandarawi. Atas arahan gurunya, beliau turun ke Nusantara untuk mengembangkan tarekat ini. Beliau telah pergi ke seluruh tanah Melayu, Singapura, Riau-Indonesia, Ayutia-Siam, Kemboja, Bangkok dan Vietnam. Ajaran yang dibawanya diakui benar oleh Tuan Haji Wan Ahmad bin Mohd Zain al-Fatani, seorang ulamak yang mengajar di Masjidil Haram dalam surat yang dikirimkan kepada Sultan Kelantan pada masa itu. Begitu juga Sultan Terengganu di zamannya, Sultan Zainal Abidin yang membenarkan beliau dan mengembangkan Tarekat Ahmadiah di negeri itu.


Tarekat Ahmadiah mempunyai amalan-amalan di waktu siang dan malam. Amalan amalan yang diterima oleh Sayyidi Ahmad bin Idris ialah:

  1. Fatihatul Aurad
  2. Tahlil
  3. Salawat al-‘Azamiah
  4. Istighfar al-Kabir
  5. Mahamid al-Thamaniah
  6. Ahzab Arba‘ata ‘Ashar
  7. Husun Mani‘ah
  8. Ahzab

Di kalangan ahli Tarekat Ahmadiah amalan-amalan ini terkumpul dalam kitab yang dipanggil nama singkatannya ‘al-Ahzab’. Syeikh Mohd Said telah mencetak semula Ahzab ini yang dinamakan ‘al-Ahzab al-‘Urfaniah wal Aurad al-Nuraniah’. Beliau telah menulis di tepi Ahzab itu karya beliau ‘Syarh Kunuz al-Jawahir al-Nuraniah’ di mana di antaranya beliau menghuraikan amalan-amalan wirid itu. 




Ada dua kaedah untuk menerima Talkin Tarekat ini iaitu:

Pertama: Secara khas iaitu bertemu secara peribadi dengan Syeikh yang diperakukan dan ditalkinkan.

Kedua: Secara am iaitu menerimanya dalam mana-mana majlis zikir atau majlis hol.




2 Orang Memberi Komen Untuk Tajuk "Tarekat Ahmadiah Idrisiah Rashidiah Dandarawiah"

tarekat yang muktabar sgt byk. tp yg paling bagus adalah AHMADIAH. insya allah.

 
Copyright © 2014 Arkib Dakwah - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info