Bahayanya Sifat Riak


Riak bermakna melakukan sesuatu amalan kerana ingin dilihat dan dipuji oleh orang/ makhluk. Amalan itu dilakukan bukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT.

Rasulullah SAW berpesan: "Yang sangat saya khuatirkan terhadap kamu ialah Syirik yang terkecil." Sahabat bertanya; Ya Rasulullah, apakah Syirik yang kecil itu? Jawab Baginda SAW; "Riak". 

Pada hari pembalasan nanti, Allah akan berkata mereka yang Riak : "Pergilah kamu kepada orang-orang yang dahulu kamu beramal kerana mereka di dunia. Lihatlah nanti adakah kamu boleh mendapatkan kebaikan/pahala daripada mereka.”

Tanda- Tanda Orang Riak

Sayyidina Ali bin Abi Talib berkata: Tanda Orang Riak itu Empat :

1) Malas jika bersendirian

2) Rajin teramat dan ringan tulang jika di hadapan manusia

3) Menambahkan amalan jika dipuji orang

4) Mengurangkan amalan jika dikutuk orang

Perumpamaan Orang Riak

Seorang Ahli Hikmah berkata: Orang yang beramal dengan Riak atau Sum’ah itu bagaikan seorang yang keluar ke pasar sambil memikul sebuah guni yang penuh dengan batu-bata. Orang-orang yang melihat guninya yang penuh itu berasa kagum dan berkata: Alangkah penuhnya guni itu. Mestilah orang ini orang yang kaya.

Tetapi pujian itu sama sekali tidak berguna baginya sebab batu-bata yang dipikul tidak dapat digunakan untuk membeli apa-apa. Orang itu hanya boleh berlagak dan mendapat pujian orang ramai. Badannya pula letih lesu akibat memikul batu-bata yang berat. Demikianlah orang yang beramal dengan Riak dan Sum’ah yang tidak akan mendapat pahala langsung di akhirat dan hanya merugikan masa dan tenaganya sahaja.

Daripada: Tanbihul Ghafilin Jilid 1. Oleh: Syeikh Abi Laits As Samarqandi.


1 Orang Memberi Komen Untuk Tajuk "Bahayanya Sifat Riak"

dalam tasauf, riak merupakan syirik kecik.

 
Copyright © 2014 Arkib Dakwah - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info