Cinta Allah Cinta Makhluk


Tanda Tanda Cinta Kepada Allah

Ramai orang berkata ia Cinta kepada Allah Subhanahuwa Taala. Katanya itu hendaklah diuji sama ada tulen atau hanya palsu.

Ujian pertama ialah; Dia hendaklah tidak benci kepada mati kerana tidak ada orang yang enggan bertemu dengan sahabatnya. Nabi Muhammad saw bersabda; "Siapa yang ingin melihat Allah, Allah ingin melihat dia." Memang benar ada juga orang yang ikhlas cintanya kepada Allah berasa gentar apabila mengingat kedatangan mati sebelum ia siap membuat persediaan untuk pulang ke akhirat, tetapi jika betul-betul ikhlas, dia akan bertambah rajin berusaha lagi untuk membuat persediaan itu.

Ujian kedua ialah ia mestilah bersedia mengorbankan kehendaknya untuk menurut kehendak Allah dan sedaya upaya menghampirkan diri kepada Allah dan benci kepada apa sahaja yang menjauhkan dirinya dengan Allah. Dosa yang dilakukan oleh seseorang itu bukanlah bukti ia tidak cinta kepada Allah langsung tetapi itu membuktikan yang ia tidak menyintai Allah sepenuh jiwa raganya. Fudhoil bin Iyadh seorang wali Allah berkata kepada seorang lelaki; "Jika sesiapa bertanya kepada mu sama ada kamu cinta kepada Allah, hendaklah kamu diam kerana jika kamu kata: "Saya tidak cinta kepadaNya", maka kamu kafir dan jika kamu berkata, "Saya cinta", maka perbuatan kamu berlawanan dengan katamu."

Ujian yang ketiga ialah ingat kepada Allah itu mestilah sentiasa ada dalam hati manusia itu tanpa ditekan atau diusahakan benar, kerana apa yang kita cinta itu mestilah sentiasa kita ingat. Sekiranya cinta itu sempurna, ia tidak akan lupa yang dicintainya itu. Ada juga kemungkinan bahawa sementara cinta kepada Allah itu tidak mengambil tempat yang utama dalam hati seseorang itu, maka cinta kepada menyintai Allah itu mungkin mengambil tempat jua, kerana cinta itu satu perkara dan cinta kepada cinta itu adalah seperkara lain pula.

Ujian keempat kemudian menunjukkan adanya cinta kepada Allah ialah bahawa seseorang itu cinta kepada Al-Quran, iaitu Kalam Allah, dan cinta kepada Muhammad iaitu Rasul Allah. Jika cintanya benar-benar kuat, ia akan cinta kepada semua orang kerana semua manusia itu adalah hamba Allah. Bahkan cintanya meliputi semua makhluk, kerana orang yang kasih atau cinta kepada seseorang itu tentulah kasih pula kepada kerja-kerja yang dibuat oleh kekasihnya itu dan cintanya juga kepada tulisan atau karangannya.

Ujian kelima ialah ia suka duduk bersendirian untuk maksud beribadat dan ia suka malam itu lekas datang agar dapat berbicara dengan rakan atau sahabatnya tanpa ada yang menggangu. Jika ia suka berbual-bual di siang hari dan tidur di malam hari maka itu menunjukkan cintanya tidak sempurna. Allah berfirman kepada Nabi Daud, "Janganlah terlampau karib dengan manusia, kerana ada dua jenis manusia tersingkir dari MajlisKu: iaitu mereka yang bertungkus mencari ganjaran dan menjadi pemalas apabila mereka mendapat ganjaran itu; dan mereka yang mementingkan diri mereka sendiri lalu melampaui aku. Tanda tidak redhanya aku ialah aku biarkan mereka begitu sahaja." Pada hakikatnya, jika cinta kepada Allah itu benar-benar mengambil tempat seluruhnya didalam hati seseorang itu, maka cintanya kepada yang lain itu tidak akan dapat mengambil tempat langsung ke dalam hati itu. Seorang dari Bani Israel telah menjadi kebiasaan sembahyang di malam hari. Tetapi apabila melihat burung bernyanyian di sepohon pokok dengan merdu sekali, dia pun sembahyang di bawah pokok itu supaya dapat menikmati nyanyian burung itu. Allah menyuruh Nabi Daud pergi berjumpa dia dan berkata, "Engkau telah mencampurkan cinta kepada nyanyian burung dengan cinta kepadaKu, Martabat engkau di kalangan Auliya' Allah telah diturunkan," Sebaliknya ada pula orang yang terlalu cinta kepada Allah, suatu hari sedang ia melakukan ibadatnya kepada Allah rumahnya telah terbakar, tetapi ia tidak nampak dan sedar rumahnya terbakar.

Yang keenam ialah ibadatnya menjadi senang sekali. Seorang Wali Allah ada berkata, "Dalam tiga puluh tahun yang pertama saya melakukan sembahyang malam dengan susah payah sekali, tetapi tiga puluh yang kedua sembahyang itu menjadi seronok dan lazat pula kepada saya." Apabila cinta kepada Allah itu sempuna, maka tidak ada kesoronokan yang setandimg dngan keseronokan ibadat.

Yang ketujuh ialah orang yang cinta kepada Allah itu akan cinta kepada mereka yang taat kepada Allah dan mereka benci kepada orang-orang kafir dan orang-orang yang derhaka kepada Allah. Al-Quran menyatakan "mereka itu bersikap kasar kepada orang-orang kafir dan berkasih sayang sesama mereka sendiri." Suatu masa, Nabi bertanya kepada Allah, "Wahai Tuhan, siapakah kekasihmu?" Terdengarlah jawapan, "Siapa yang berpegang teguh kepadaKu seperti bayi dengan ibunya, mengambil perlindungan dengan mengingatiKu seperti burung mencari perlindungan disarangnya, dan yang marah melihat dosa seperti singa yang marah yang tidak takut kepada apa dan siapa pun."

Sayangilah Tuhan Allah

Di dalam diri kita ini ada macam-macam khazanah yang bersifat fizikal, mental dan rohani. Dalam badan kita ada jantung, hati, paru-paru, usus-usus, buah pinggang, sistem peranakan, sistem penghadaman, ada otak, ada saraf, ada saluran darah dan lain-lain. 

Tersimpan juga dalam tubuh kita berbagai-bagai maklumat aqliah seperti ilmu alam, ilmu matematik, maklumat sejarah, sains, ekonomi, rahsia-rahsia peribadi dan individu-individu lain termasuk maklumat tentang alam ghaib seperti syaitan, malaikat, alam kubur dan alam akhirat. Memang hebat batang tubuh kita ini. Kecil tapi berbagai khazanah ada di dalamnya. 

Tapi yang hebat lagi dalam diri kita ini seperti ada berbagai-bagai lautan rasa yang gelombang-gelombangnya bertukar-tukar dengan rupa yang begitu pantas. Kadang-kadang kita dilambung gelombang rasa gembira, kadang pula rasa sedih, sayu, takut, marah, sayang, rindu, kasih, cinta, gerun, geram, benci, meluat dan jijik. Tidak saja itu, lautan rasa boleh bertukar warna kepada rasa hebat, megah, sombong, tinggi diri, bangga, rasa mampu, rasa selamat, rasaboleh serba serbi. 

Tiba-tiba dilanda pula ribut rasa derita, kecewa, putus asa, terseksa, lara, rasa diri tak berguna, rasa hina, rasa lemah, rasa tak selamat, rasa serba tak boleh. Di sudut lain lautan ini membawa irama gelombang yang lain pula. Rasa bakhil, gila dunia, gila kuasa, gila puji, gila wanita, tamak haloba, hasad dengki, dendam kesumat, rasa nak tipu, nak bohong, nak mencuri, nak bunuh orang, nak bunuh diri, mengangkat diri, jatuhkan orang dan macam-macam. 

Namum janganlah lupa, lautan itu tidak cukup setakat itu. Ada pula jenis gelombang yang indah-indah melayari lautan rasa manusia hingga terbuai-buai kita dibuatnya oleh rasa-rasa sayang. Sayang ibu bapa, sayang isteri, suami. Sayang anak-anak, sayang kawan, sayang jiran dan siapa-siapa yang baik-baik. Sayang kucing, sayang bunga, sayang barang-barang, sayang hidup, sayang kerja, sayang rumah dan sayang dunia. 

Seribu satu macam sayang berombak-rombak di dalam dada kita. Diiringi pula oleh rasa-rasa yang indah-indah seperti pemurah, peramah, bersangka baik, berbudi tinggi, lapang dada, berkasih sayang, memaafkan, rasa bersalah dan meminta maaf, rendah diri, memuliakan, ingin disayangi dan membalasnya. 

Tapi kemuncak dari semua itu, ada satu rasa yang paling MAHAL dari semua iaitu RASA BERTUHAN . Rasa inginkan Tuhan sewaktu-waktu susah. Ajaibnya penciptaan, pemberian dan anugerah yang maha luas ini. Bagaimana diri manusia yang sekecil ini dibenarkan memiliki seribu satu macam khazanah rohaniah? Siapa pereka, perancang, pencipta dan mengawal system super power ini? Tuhan, bukan? Hanya Dialah yang semampu ini. Hanya Dia yang sebijak dan sekuasa itu! Hanya Dia dan Dia saja. Sebab itulah Tuhan yang Yang Agung ini telah memfirmankan bahawa: "Sesungguhnya manusia adalah sebaik-sebaik ciptaan dan kejadian" Satu ciptaan yang jauh lebih hebat dari ciptaan gunung, bukit, laut, langit dan bumi. 

Hanya manusialah terutama manusia bertaqwa yang disempurnakan dengan sesempurna ciptaan. Yakni dibekalkan benih taqwa dalam lautan hati dan roh mereka. Yang mana daripada keseluruhan kecintaan-kecintaan yang disebutkan tadi, mereka dapat tundukkan semuanya kepada cintakan Tuhan yang Agung. Orang yang gagal menundukkan kecintaan kepada Allah, mereka hanya dapat cinta murahan. Cinta inilah yang direbutkan. Sedangkan cinta Allah dibiarkan. 

Ada rasa bertuhan, sayang Tuhan, inginkan Tuhan, mencari Tuhan dan bercakap, bertanya, meminta, memanja, mengadu, merintih, merindui, mencintai dan menyayangi Tuhan dengan seagung-agung perasaan cinta. 

Perasaan-perasaan ini kalau disuburkan, dibina, dibaja, diarahkan, sungguh mampu akan menjadikan manusia berhati malaikat, yakni mengabdikan seluruh hidup, masa dan jiwa raganya menyembah Allah. Membawa rasa kehambaan dan rasa bertuhan disetiap detikan hati dan jantungnya. Hidup mati ditujukan kepada Allah semata-mata. 

Inilah yang Allah maksudkan: "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Aku." (Adz Dzaariyaat : 56) 

Saudara saudari, Siapa kenal dirinya nescaya dia kenal Tuhannya. Renunglah penciptaan diri kita. Nescaya kita akan terpegun dan terkejut! Sebab semua kepunyaan kita itu bukan kita yang mengawalkan, mentadbir, mengurusnya. Degupan jantung, kerdipan mata, penapisan ginjal, sedutan dan lepasan nafas, merakamkan maklumat, menyimpan dan mengeluarkannya sepanjang 50 dan 60 tahun, mengalunkan rasa-rasa, gerakan hati yang silih berganti tiada henti-henti, sesungguhnya diluar kawalan kita. Selamat tidaknya diri kita bukan kita yang menentukan. Bila jantung akan berhenti berdegup sekaligus memberhentikan jentera seluruh sistem manusia ini? Bukan kita yang boleh menjawabnya! 

Tapi sayang ramai saintis yang menyelidik rahsia penciptaan manusia ini jadi tidak percaya Tuhan bahkan anti Tuhan! Apa mereka tidak perasankan bahawa seluruh keajaiban itu ada mula dan akan berakhir? Oleh siapakah memula dan mengakhirkan itu berlaku? Sedangkan empunya diri pun tidak tahu. Bukankah jawapannya ialah oleh Tuhan? 

Instinct atau fitrah kita yang menjawabnya. Sebab fitrah memang dibentuk bersama rasa yakin adanya Tuhan. Rasa mahukan Tuhan. Sebab itu kita bangga mengaku sebagai seorang hamba Tuhan. Tetapi marah kalau orang tuduh kita hamba syaitan, hamba seks, hamba duit dll. Pelik manusia ini, macam-macam yang dicinta tapi marah bila dikaitkan dengan banyak-banyak itu. Sebab cinta itu murah. 

Sedangkan cinta Tuhan itu mahal. Saintis itu sebenarnya ada rasa-rasa mahukan Tuhan. Terutama waktu-waktu susah mereka akan memanggil Tuhan dengan kata-kata oh my god! Tapi sayang perasaan terhadap Tuhan itu tidak dibaja, tidak disuburkan. Sedang rasa cintakan girlfriend itu begitu dipupuk. Sayang anak itu dibelai-belai. Sayangkan ibu bapa amat dibesar-besarkan. Sayang dunia, sayang pangkat, cinta kereta dan lain-lain sungguh bertakhta di hati. Sanggup hidup mati kerananyalah! Walhal apa sangatlah semua itu pada kita. Dia pernah ada dan pernah tiada. Sedangkan Tuhan Dialah nafas kita, Dialah makanan kita, rezeki kita, Dialah bank kita, Dialah daya ingatan kita, Dialah manusianya kita, Dialah tidur lena kita, Dialah senyum tangis kita, Dialah nikah kahwin kita, Dialah kaya miskin kita, Dialah sakit sihat kita, tua muda kita, Dialah baik jahatnya kita, Dialah pandai bodohnya kita, Dialah hidup matinya kita, Dialah pandangan kita, penglihatan kita, perasaan beranak tidaknya kita, Dialah accidentnya tidak kita, Dialah orang suka tidaknya kita, Dialah mulia dan hinanya kita, berjawatan dan berkuasa tidaknya kita, jatuh bangun seseorang dan sesuatu kamu pun di tangan Tuhanlah juga. 

Lihat firmannya Ali Imran ayat 26. "Sesungguhnya Tuhan adalah segala-galanya".

Tuhan sangat sayang pada kita manusia dan Dia sangat inginkan kita menyayangi-Nya. Kita boleh berkawan dengan-Nya bahkan Dia adalah kawan yang paling setia. Siapa yang kata makhluk manusia tidak boleh berkawan dengan Allah pencipta adalah satu pembohongan. 

Sebab Rasulullah SAW ketika akan wafat ada bersabda: "Aku akan pergi kepada kawan yang Tinggi (Allah)" 

Tiada cacat celanya Allah kalau kita jadi kawan Dia. Bukankah setiap saat Dia yang menjaga kita, memberi rezeki dan segalanya? Dia yang menguruskan kita, menolong kita, mengajar, membela, melindung, menjaga, memastikan waktu-waktu kita samaada untuk sihat, sakit, hidup dan mati. Allah tidak hina kerana bersama kita kerana Dia Maha Sempurna. Tiada apa yang boleh mencacat-celakan kesempurnaan-Nya. Dia sebagai kawan setia, prinsip hidup dan tempat rujuk. 

Bukankan setiap kali kita sembahyang kita berkata pada-Nya "Akan Engkaulah kami sembah Akan Engkaulah kami meminta tolong" 

Lagi yang selalu kita ungkapkan kehadrat Allah waktu sembahyang ialah "Ku sembahkan puja dan puji kepada Zat yang menghadiahkan alam ini kepadaku" Ruginya kita kalau tidak mempedulikan Tuhan. 

Ruginya kita kalau tidak mengambil Tuhan jadi kawan yang setia. Malangnya kita kalau kita tidak cinta dan tidak sayang pada-Nya. Sedangkan kesayang-kesayangan kita yang lain, tidaklah berjasa dan berbaik pada kita sebanyak yang Tuhan lakukan untuk kita. Akhirnya ketahuilah bahawa kita ada Tuhan. Dia adalah segala-galanya. Oleh itu sayangilah Tuhan.


Kecintaan Sesama Saudara islam Kerana Allah

Tidaklah dua orang saling mencintai kerana Allah, melainkan orang yang paling dicintai Allah, diantara keduanya ialah orang yang paling besar cintanya kepada saudaranya." HR. Ibnu Hibban dan Al-Hakim

Rasa cinta adalah fitrah manusia. Kerananya, percintaan adalahrentangan waktu kehidupan manusia yang akan mereka lalui dengan keindahan dan haru biru. Cinta yang tulus, insyaAllah akanmenyelamatkan manusia dari api neraka yang maha dahsyat panasnya.

Cinta tulus, terbesar dan hakiki adalah cinta kepada Allah. Bukharidan Muslim meriwayatkan sebuah sabda Rasulullah Saw. melalui Anas ra., "Ada tiga perkara yang barangsiapa dalam dirinya terdapat ketiga perkara itu, dia pasti merasakan manisnya iman, iaitu Allah dan RasulNya lebih dicintainya daripada yang lain; mencintai seseorang tiada lain hanya kerana Allah; dan tidak ingin kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan Allah sebagaimana dia tidak ingin kalau dicampakkan ke dalam api."

Sesungguhnya persaudaraan kita merupakan buah dari ketinggian akhlak, dan tafarruq (perselisihan) kita merupakan akibat dari rendahnya akhlak. Akhlak yang bagus membuahkan rasa saling cinta, saling sayang, dan saling memberikan manfaat. Kerana itu, cinta melahirkan ukhuwah. Ukhuwah yang telah digambarkan secara mengharukan oleh Bilal, Amar dan Zaid, atau Umar, Ali dan Utsman, yang bersanding dan bercinta kerana Allah. Kasih sayang diantara mereka merupakan gambaran janin ukhuwah yang dikandung dalam perut iman, dan terlahir dari ibu yang bernama iman.

Ukhuwah bererti bersatunya hati-hati yang ruhnya terikat dengan ikatan akidah. Kerananya, persaudaraan adalah bentuk keimanan yang terikat dengan akidah yang amat kuat. Sementara perpecahannya adalah gambaran kekufuran, yang menempatkan keimanan dan kasih sayang di tempat sampah. Oleh kerana itu, manusia yang benar fikrahnya adalah manusia yang melihat saudaranya lebih utama dibanding dirinya sendiri. Jika perkara ini terjadi, ukhuwah akan terasa sangat indah, nikmat, dan manis.

Persaudaraan dan saling mencintai kerana Allah adalah salah satu ibadah yang paling utama dalam agama kita. Siapapun yang berupaya mewujudkannya, tiada perkara lain baginya kecuali syurga yang maha indah. Rasulullah Saw bersabda, "Barangsiapa bersaudara dengan seseorang kerana Allah, maka Allah mengangkatnya satu darjat di syurga, yang tidak didapatnya dengan sesuatu amalan lainnya".

Ibnu Jarir pun meriwayatkan sabda Rasulullah Saw. dari Ibnu 'Abbas ra., ia berkata, "Barangsiapa mencintai seseorang kerana Allah, membenci seseorang kerana Allah, membela seseorang kerana Kecintaan Sesama Saudara Islam Kerana Allah, dan memusuhi seseorang kerana Allah, maka sesungguhnya kecintaan dan pertolongan dari Allah boleh diperoleh dengan perkara Seorang hamba tidak akan menemukan nikmatnya iman, sekalipun banyak sholat dan shaum, sehingga dia bersikap demikian. Persahabatan diantara manusia pada umumnya didasarkan atas kepentingan dunia, namun perkara itu tidak berguna sedikitpun bagi mereka."

Cinta seorang Mukmin adalah kekuatan. Ia bagaikan perekat yang mengikat batu bata individu Muslim dalam sebuah bangunan yang kukuh dan tidak mudah roboh. Allah Swt. Berfirman; " Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara." (Q.S Al-Hujurat : 10)

Sementara itu, Rasulullah Saw bersabda, "Mukmin yang satu terhadap Mukmin yang lain itu bagaikan bangunan yang mengikat antara sebagian dengan sebagian yang lainnya." HR. Muttafaqun 'Alaih

Persaudaraan Islam bukanlah suatu permasalahan sampingan dalam Islam, tetapi ia menjadi salah satu prinsip dasar yang menyertai syahadah (persaksian) terhadap keesaan Allah dan kesaksian terhadap kerasulan Muhammad Saw. Persaudaraan merupakan buah dan konsekuensi keimanan yang amat sangat indah. Kerana itu, kita harus sama-sama yakin bahawa keindahanNya qadim. KeagunganNya tinggi. Kekuasaan dan penguasaanNya Maha Dahsyat. KeindahanNya berpadu dengan kemuliaan. KeagunganNya berpadu dengan keluhuran. KebesaranNya tidak pernah berakhir. KeindahanNya pesona hati. KeagunganNya meningkatkan cinta. Sungguh, tiada cinta yang hakiki kecuali cintaNya kepada kita sebagai makhlukNya, dan cinta kita kepadaNya. Adakah kita merasakan semuanya?


1 Orang Memberi Komen Untuk Tajuk "Cinta Allah Cinta Makhluk"

 
Copyright © 2014 Arkib Dakwah - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info