Takut Kepada Tuhan Takut Kepada Tuhan Takut kepada Tuhan adalah salah satu sifat taqwa. Takut kepada Tuhan itu berbentuk rasa. Tak sama rasa takut kepada Tuhan dengan rasa takut kepada makhluk. Buktinya, orang yang takut kepada makhluk akan menjauhkan dirinya daripada makhluk itu. Tetapi orang yang takut kepada Tuhan, akan berusaha mendekatkan dirinya dengan Tuhan.
Untuk takut kepada Tuhan memerlukan ilmu. Ilmu yang bukan sekadar bertapak di akal, tetapi dari akal turun ke hati hingga mendatangkan rasa. Ilmu yang dimaksudkan itu ialah ilmu mengenal Tuhan. Ilmu itu membolehkan seseorang mengenali Tuhannya; zat, sifat dan perbuatan Tuhan.
Bila sudah kenal, maka cinta kepada Tuhan pun berbunga dan berbuah. Daripada cinta tersebut, timbul rasa takut kepada Tuhan. Memang dasar orang bercinta, takut cinta tidak berbalas, takut cinta terputus di tengah jalan, takut jika yang dicintai tidak mencintai. Ilmu itu membuatkan dia faham peranan Tuhan pada dirinya, apa sahaja nikmat dan ujian diterimanya dengan rasa takut kepada Tuhan. Ilmu itu juga membuatkan dia faham terhadap tabsyir (khabar gembira) dari Tuhan, jika dia menurut perintah Tuhan dan meninggalkan laranganNya. Ilmu itu juga membuatkan dia faham terhadap tanzir (ancaman) dari Tuhan, jika dia melanggar perintah Tuhan dan mengikut hawa nafsunya membuat larangan Tuhan.
Begitulah besarnya ilmu tentang Tuhan sehingga Allah mengisytiharkan di dalam Al-Quran bahawa orang yang mempunyai ilmu tentang Tuhan inilah yang paling takut kepadaNya. Bahkan orang yang takut dengan Tuhan ini jugalah tergolong di dalam golongan orang yang disabdakan oleh Rasulullah, iaitu orang yang seolah-olah dia melihat Tuhan, jikapun dia tidak dapat melihat Tuhan, dia terasa bahawa Tuhan sentiasa memerhatikan dirinya.
Persoalannya, mana mungkin kita hendak takutkan Tuhan jika kita tidak ada ilmu tentang Tuhan? Rasa takut kepada Tuhan ini bagi orang bertaqwa boleh menjadikan dirinya resah dan gelisah sepanjang masa. Adakalanya dia menung sendirian sehingga mengalirkan airmata. Adakalanya terpekik terlolong secara tiba-tiba hingga terkejut orang dibuatnya. Kadang-kadang, kelihatan berjalan keseorangan tidak mahu campur orang. Kadang-kadang berlama-lama di tikar sembahyang. Pernah juga terjadi, badannya terketar-ketar, tidak tertahan, terus sahaja pengsan. Begitu sekali kesan orang yang takutkan Tuhan. Tetapi bagi orang yang ada hubung kait dengan perjuangan kebenaran, terutama yang bertaraf pemimpin, dengan rahmat Tuhan rasa itu dapat dikontrol. Jika tidak, bagaimana dia hendak berjuang? Yang jadi pemimpin, mungkin tak ada orang yang mahu ikutnya.
Di sinilah adilnya Tuhan. Orang yang sudah ada rasa takut kepada Tuhan, sebelum sembahyang, takut itu meningkat grafnya. Oleh kerana Dia hendak berjumpa Tuhan dalam satu majlis istimewa, maka datang takut yang amat sangat. Biarpun gembira kerana itulah pertemuan istimewa hamba dengan Tuhannya, tetapi dia takut sangat jika tidak dapat beradab dengan Tuhan. Takut sangat datang dia kepada Tuhan dengan membawa dosa. Takut sangat datang dia kepada Tuhan dengan mendapat murka Tuhan. Itu sebabnya dia banyak beristighfar kepada Tuhan sebelum mendirikan sembahyang. Selepas dia sembahyang, takut itu meningkat lagi grafnya. Padahal baru sahaja selesai bertemu Tuhan, patutnya rasa lega. Tidak begitu kepada orang seperti ini. Rasa takut itu melonjak lagi kerana bimbangkan hasil pertemuan tadi.
Dia bimbangkan apa kata Tuhan tentang dirinya dalam sembahyang tadi. Dia rasa yang dalam sembahyang tadi dia membuat dosa. Dia merasa sembahyangnya tadi banyak lalainya. Itulah yang dirasainya sedangkan belum tentu lagi yang dia itu lalai dalam sembahyangnya. Tetapi begitulah rasa orang yang istiqamah takut kepada Tuhan, tak berhenti daripada takut kepadaNya. Patut-patutnya datang takut itu bila terbuat dosa, tetapi ini tidak. Takut itu dirasakan sepanjang masa hinggakan dalam berbuat baik pun, dia merasa takut kepada Tuhan. Demikian sedikit dapat diceritakan perihal takut kepada Tuhan sebagai ilmu kepada kita. Moga-moga ada manfaatnya.
1 Orang Memberi Komen Untuk Tajuk "Takut Kepada Allah"
takut pd allah dgn ikut segala perintahnya dan tggal segala larangannya