Hasad Dan Ghibtah


“Hati-hati kalian dari sifat hasad kerana hasad itu memakan kebaikan sebagaimana api membakar kayu bakar.” (HR. Abu Dawud. Hadis ini DA'IF dalam Silsilah Al-Ahadits Adl-Dha’ifah no. 1902)

“Wahai Anakku! Bila engkau mampu hingga pagi dan petang tanpa memendam sifat hasad dengki kepada seseorang, maka lakukanlah.” (HR. Tirmidzi)

Nabi bersabda, “Kalian tidak akan beriman sehingga menginginkan untuk saudaranya hal-hal yang dia inginkan untuk dirinya sendiri.” (HR Bukhari dan Muslim).

Nabi bersabda,"Tidak boleh hasad kecuali pada dua perkara, iaitu: terhadap seseorang yang Allah anugerahkan harta, lalu dia gunakan harta tersebut pada jalan kebenaran, dan terhadap seseorang yang dianugerahkan ilmu, lalu dia amalkan ilmu tersebut serta diajarkannya kepada manusia lain". (H.R Bukhari dan Muslim).

Jika seseorang mendapat nikmat, kita yang melihat keadaan itu, akan berada di antara dua keadaan:

1. Jika kita rasa benci atau tidak suka dengan nikmat yang diperolehinya. Inilah yang dikatakan hasad.

2. Jika kita tidak benci terhadap nikmat yang diperolehi oleh orang itu dan kita menginginkan agar kita juga memiliki nikmat seumpama itu. Inilah yang disebut dengan ghibtah (hasad yang dibenarkan). Iaitu rasa bangga dengan orang itu dan bercita-cita untuk mendapatkan kelebihan seperti mana yang didapati oleh orang itu. Sifat ini amatlah terpuji dan dikehendaki ada pada tiap-tiap orang, kerana dengannya boleh mendatangkan kebaikan dan kemajuan hidup.

Bezanya pada perasaan, BENCI atau SUKA.

Jika orang lain mendapat nikmat atau kelebihan, kita hendaklah merasa suka dan berharap agar dapat mencontohinya. (Ghibtah).

Jika orang lain mendapat nikmat atau kelebihan, jika kita ada perasaan benci atau tidak suka, itu bererti hati kita ada sifat hasad.

Perbezaan Hasad, Ghibtah dan Munafasah

Hasad, ghibtah dan munafasah. Ketiga-tiga kalimah ini sama tetapi tidak serupa. Mereka mempunyai makna tersendiri walau agak mirip.

Hasad Dengki
Berharap dan berusaha agar sesuatu nikmat yang dianugerahkan Allah kepada seseorang terhapus, luput dan lupus

Hukum :
Haram mengikut sepakat ulama.

Firman Allah bermaksud : "Dan daripada kejahatan pendengki apabila ia dengki." (Surah Al-Falaq 113 : 5)

Dalam ayat ini, Allah meminta kita berlindung daripada bahana dan bahaya hasad. Jika sesuatu itu perlu kita jauhi, maka lebih-lebih lagi hasad tidak patut berada dalam hati kita

Ghibtah (Iri Hati)
Berharap nikmat yang dimiliki oleh orang lain turut dimilikinya tanpa berharap atau bercita-cita nikmat tersebut luput daripada orang lain

Hukum :

Harus - Jika berkaitan dengan urusan dunia
Mustahab (Sunat) - Jika berkaitan dengan ibadah dan ketaatan

Munafasah
Bersaing untuk mencapai sesuatu sebagaimana yang telah dicapai oleh orang lain.

Hukum :
Harus tetapi tidak perlu keterlaluan sehingga melangkaui batas kemampuan seorang manusia.

Munafasah ini juga perlu terhad kepada ruang lingkup perkara-perkara yang dibenarkan agama dengan cara yang juga "patuh syariah". Sebaik-baiknya bersainglah dengan diri sendiri berdasarkan konsep, "semoga hari ini lebih baik daripada semalam".

Abdullah bin Mas'ud meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : "Tidak boleh hasad (ghibtah) kecuali kepada dua orang iaitu orang yang Allah anugerahkan kepadanya harta lalu dia infakkan pada jalan kebaikan dan orang yang Allah berikan ilmu (Al-Quran dan Sunnah), ia menunaikan dan mengajarkannya." (Muttafaq 'alaih).


2 Orang Memberi Komen Untuk Tajuk "Hasad Dan Ghibtah "

Alhamdulillah terimakasih jawaban ini sangat membantu

 
Copyright © 2014 Arkib Dakwah - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info